Lajim guru terbaik saya – Isnin Aliasnih

Lajim guru terbaik saya – Isnin Aliasnih

Beaufort: Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih mengakui Datuk Seri Lajim Ukin adalah guru terbaik beliau sepanjang menyertai politik.

Isnin yang kini mengambil alih tempat Lajim sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, berkata berikutan itu pemergian Lajim disebabkan Covid-19 hari ini amat dirasainya.

“Allahyarham adalah guru terbaik saya sepanjang karier politik sejak tahun 1991.

“Kami bersama sejak UMNO sehinggalah ke saat ini (BERSATU). Dulu beliau ketua bahagian, saya timbalan dan sehingga akhir ini saya ketua, dia timbalan.

“Pemergian beliau bukan sahaja meninggalkan kesan secara peribadi tetapi keseluruhan arena politik negara,” katanya mengulas pemergian Lajim hari ini.

Isnin yang ditemui selepas selesai upacara pengebumian jenazah Lajim tengah hari tadi, berkata, keperibadian Allahyarham Lajim yang sentiasa menyantuni rakyat atau rakan seperjuangan membuatkan dirinya disenangi ramai hingga ke akhir hayatnya.

Katanya, Allahyarham Lajim sentiasa mengambil berat dan menjaga kebajikan rakyat dalam kawasannya terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias sepanjang lebih 20 tahun bergelar wakil rakyat.

“Beliau sememangnya dekat di hati rakyat Klias khususnya dan Beaufort keseluruhannya selain negeri Sabah kerana Allahyarham juga pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri selain memegang jawatan Timbalan Nenteri di peringkat Pusat,” katanya.

Sementara itu, ADUN Lumadan yang juga Timbalan Presiden Satu Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), Ruslan Muharam berkata pemergian pemimpin yang digelar Janang Gayuh atau pemimpin agung dalam kalangan masyarakat Bisaya itu adalah suatu kehilangan besar.

“Beliau banyak menabur jasa dan bakti khususnya kepada masyarakat Bisaya dan rakyat secara keseluruhannya.

“Hala tuju arwah mahu melihat masyarakat Bisaya bersatu padu dalam semua keadaan selain mahu melihat etnik berkenaan setaraf dengan bangsa-bangsa lain dan mempunyai pendidikan tinggi,” katanya.

Jenazah Lajim selamat dikebumikan Taman Perkuburan Islam Kampung Kebatu ) Kampung Kabidang, Beaufort pada jam 1.50 tengah hari tadi.

Lajim, 66, disahkan meninggal dunia di Hospital KPJ Sabah pada jam 6.23 pagi tadi sebelum jenazahnya dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Kebatu, Beaufort.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|