Sabah FC rehatkan Kurniawan, Jelius kembali

Sabah FC rehatkan Kurniawan, Jelius kembali

Kota Kinabalu: Selepas gagal mencatat kemenangan dalam lapan aksi berturut-turut, Sabah Football Club (FC) mengambil langkah drastik apabila merehatkan ketua jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto selain memanggil semula bekas pengendali, Jelius Ating ke dalam pasukan.

Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir berkata, Burhan Ajui yang juga penolong jurulatih akan menggalas tugas Kurniawan buat sementara waktu manakala Jelius dilantik sebagai penolong pengurus pasukan yang baharu.

”Kita yakin pengalaman yang dimiliki kedua-dua mereka ketika bersama-sama pasukan bola sepak Sabah sejak 2017.

”Ini sudah tentu akan dapat membantu skuad badak dalam mengharungi baki perlawanan sekaligus terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Marzuki berkata, pihak pengurusan sangat kecewa dengan prestasi hambar Sabah FC selepas gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir.

”Setakat ini, semua kebajikan pemain serta pegawai pasukan sentiasa dijaga dan diberi perhatian sewajarnya oleh pihak pengurusan Sabah FC.

”Kami berharap agar semua pihak khususnya penyokong sentiasa memberikan sokongan padu serta kepercayaan kepada pasukan sekaligus mengembalikan prestasi cemerlang mereka dalam tempoh terdekat,” katanya.

Selepas gagal mencatat kemenangan dalam lapan perlawanan berturut-turut, Sabah FC kini berada di kedudukan ketujuh Liga Super dengan 19 mata hasil daripada empat kemenangan, tujuh seri dan sembilan kekalahan.

Pasukan itu juga turut dikejutkan dengan kekalahan besar 0-4 kepada UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam, semalam selepas sebelum ini mereka menang besar ke atas pasukan itu pada pusingan pertama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|