Treler terbabas, minyak sawit tumpah di jalan

Treler terbabas, minyak sawit tumpah di jalan

Tuaran: Sebuah treler terbabas sebelum menumpahkan muatan minyak sawit di kilometer 21 Jalan Berungia-Tenghilan, berhampiran Kampung Lapai, di sini, semalam.

Akibat daripada kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, jalan berkenaan terpaksa ditutup untuk kerja-kerja menabur pasir bagi membersihkan jalan yang dipenuhi minyak sawit.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati, lori trailer tangki berkenaan yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun dalam perjalanan dari arah Pitas menuju ke Sandakan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan hilang kawalan ketika melalui selekoh dan menaiki bukit.

Kerja permbersihan sisa minyak sawit sedang giat dijalankan.

“Akibat daripada kemalangan ini, minyak kelapa sawit yang dibawa tertumpah di atas jalan di lorong dan bahu jalan sebelah kiri.

“Pemandu treler berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memasang kon, pemantul cahaya, papan tanda dan lampu di lokasi kejadian.

Katanya, ia bagi memberi ruang kepada kerja-kerja pembersihan yang terpaksa dijalankan sepanjang kira-kira 150 meter menuruni bukit.

“Jalan berkenaan ditutup sementara untuk kerja -kerja menabur pasir di atas jalan yang dipenuhi minyak sebelum dibuka semula selepas kerja-kerja pembersihan selesai,” katanya.

Mohd Hamizi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen Peraturan 10 LN 166/59 1987.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|