Bot pukat tunda ubah suai sorok diesel 6,700 liter

Bot pukat tunda ubah suai sorok diesel 6,700 liter

Kota Kinabalu: Helah juragan bot pukat tunda mengubah suai tangki bot berkenaan gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila ditahan melalui operasi terancang di perairan SAFMA, di sini, semalam.

Operasi jam 5 petang oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu merampas 6,700 liter diesel dan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot berjumlah RM266,905.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, pemeriksaan yang dijalankan ke atas bot pukat tunda itu menemui lapan tangki yang diubah suai.

“Lapan tangki diubah suai dibahagian dalam ruangan enjin bot berisi 5,000 liter diesel manakala sebuah lagi tangki turut diubah suai dibahagian haluan bot berisi 1,700 liter diesel.

Juragan bot pukat ditahan selepas didapati mengubah suai tangki untuk menyembunyikan diesel dalan operasi terancang di perairan Kota Kinabalu.

“Keseluruhan diesel yang disembunyikan dianggarkan sebanyak 6,700 liter. Turut ditemui satu unit mesin pam mudah alih dan hos yang disembunyikan di atas bot berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, juragan bot lelaki tempatan berusia 63 tahun turut diperiksa.

“Hasil pemeriksaan mendapati juragan itu gagal mengemukakan sebarang permit membeli, menyimpan, membawa serta memasarkan bahan api itu daripada Kementerian Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM266,905 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya.

Roslan berkata, bot pukat kemudian disita dan dibawa ke Markas operasi PPM Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Justeru PPM Wilayah 4 Sabah mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang,” katanya.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|