ESSCOM tahan tekong, 3 PATI

ESSCOM tahan tekong, 3 PATI

Tawau: Cubaan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke daerah ini secara haram gagal apabila ditahan sepasukan anggota ESSCOM, di Kampung Hidayat, Jalan Apas, di sini, pagi tadi.

Semua pati terbabit berjaya dikesan pihak berkuasa jam 5.20 pagi dalam rondaan Op Cegah Pati (OCP) daratan, ketika menaiki sebuah kenderaan Perodua Myvi selepas disyaki baru tiba dari negara jiran.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, hasil pemeriksaan, terdapat seorang pemandu bersama dua lelaki dan seorang wanita berada dalam kenderaan berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati semua mereka mengaku berasal daripada Sungai Pancang, Indonesia dan menggunakan laluan yang tidak sah untuk menyusup masuk ke daerah ini.

“Turut ditahan seorang tekong darat warga tempatan yang disyaki turut terbabit dalam aktiviti berkenaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

PATI yang ditahan selepas cuba masuk ke daerah Tawau di Kampung Hidayat, Jalan Apas, Tawau.

Ahmad Fuad berkata, semua yang ditahan berusia 25 hingga 57 tahun dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002 dan kenderaan yang digunakan juga disita untuk membantu siasatan lanjut.

Sehubungan itu, Ahmad Fuad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan yang terbabit dalam membantu menjayakan Op Cegah Pati (OCP) Daratan ESSCOM.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil kerja berpasukan terutamanya dalam menggagalkan taktik PATI yang menggunakan lorong-lorong tikus untuk memasuki negara ini secara haram.

“ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan di ESSZONE yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan.

“Ia menerusi rondaan dan pemantauan secara agresif melalui pelaksanaan OP Cegah Pati (OCP) dengan menggunakan dan mengadaptasikan konsep “show of presence” bagi mengawal dan mengekang kemasukan PATI,” katanya,

Ahmad Fuad berkata, usaha itu juga adalah bagi memutuskan rangkaian Covid-19 daripada di bawa masuk ke negara ini melalui PATI.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|