Tongod catat pengeluaran geran tanah tertinggi di Sabah

Tongod catat pengeluaran geran tanah tertinggi di Sabah

Tongod: Daerah Tongod merekodkan lebih 9,000 pengeluaran geran tanah iaitu jumlah tertinggi di Sabah dalam tempoh tiga tahun pertama yang berakhir Disember tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) daerah Tongod merekodkan lebih 90,000 ekar tanah diluluskan kepada penduduk tempatan di daerah itu sejak 2018.

“Sebahagian besar jumlah pemilikan geran itu adalah permohonan tanah adat. Selebihnya, melibatkan hutan simpan yang telah diwartakan sebagai tapak perkampungan,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Tanah (LUC) di pejabat daerah Tongod, semalam.

Katanya lagi, setiap permohonan yang memperolehi geran tanah akan mendapat tidak kurang daripada 10 ekar dan diberi tempoh sehingga lima tahun bagi mereka mengusahakan tanah tersebut.

“Jika tanah tersebut terbiar tanpa diusahakan melebihi lima tahun, maka kerajaan berhak membatalkan geran pemilikan mereka sambil memberi peluang kepada pemohon lain yang belum memiliki tanah,” katanya.

Sementara itu, Masiung berkata, isu serius membabitkan pertindihan permohonan dan permohonan tertangguh selama lebih 30 tahun juga berjaya diselesaikan menerusi Program Pengukuran Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) yang dilaksanakan oleh JTU.

Terdahulu, ketika merasmikan Program Santai bersama pemimpin di Dewan Kampung Kiliwatong semalam, beliau mengulangi pendirian untuk membantu mempercepatkan masalah permohonan tanah penduduk yang sekian lama tertangguh.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, setakat ini terdapat lebih 600 permohonan lagi sedang diproses oleh JTU daerah Tongod untuk dianalisa sebelum program penyukatan dibuat.

“Kita akan meneliti setiap permohonan yang dikemukakan dan tidak akan mengambil langkah tergesa-gesa melainkan setelah membuat perincian yang matang terlebih dahulu.

“Kita lebih mengutamakan permohonan warga tempatan dari daerah Tongod sendiri berbanding kehendak syarikat swasta yang bercadang mahu membangunkan ladang secara besar-besaran,” katanya.

Masiung dalam pada itu turut mengingatkan pemilik tanah yang telah memperolehi geran agar tidak mengambil kesempatan untuk menjual kepada syarikat atau individu dari luar daerah itu.

“Mana-mana pemilik tanah yang didapati menjual tanah adat kepada orang luar, mereka akan disenarai hitam dan tidak akan mempunyi peluang kedua,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemilik tanah yang telah memperolehi geran hendaklah membuka tanah mereka untuk program ekonomi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|