Papar: Dua maut manakala empat lagi cedera selepas sebuah pacuan empat roda bertembung dengan lori lima tan dalam kejadian di Jalan Kimanis-Keningau, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, dua mangsa Daphne Dale, 9, dan Deny Rizlin William, 36, yang menaiki Toyota Vigo disahkan meninggal di lokasi kejadian.
Manakala empat mangsa yang lain berusia enam tahun hingga 61 tahun dan pemandu lori berusia 43 tahun hanya mengalami kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.14 petang.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta dua van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba Keningau dan Papar dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati terdapat mangsa tersepit di dalam kenderaan dan operasi mengeluarkan mangsa terus dijalankan.
“Mangsa yang tersepit kemudiannya berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan terus diberikan rawatan awal oleh Pasukan EMRS dan Ambulans di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan di tempat kejadian manakala mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.25 petang.
-Deasoka