PBS bantah hidupkan semula cadangan pas sementara untuk PATI

PBS bantah hidupkan semula cadangan pas sementara untuk PATI

Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) sekali lagi menolak cadangan untuk mengeluarkan pas sementara kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) seperti dibangkitkan semula bekas Ketua Menteri, Tan Sri Harris Salleh, baru-baru ini.

Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menegaskan jika cadangan itu diluluskan, ia akan membawa masalah yang lebih besar kepada isu sedia ada berkaitan PATI di Sabah yang sehingga kini belum diselesaikan.

Beliau percaya kaedah yang lebih berkesan untuk menangani isu itu adalah dengan membentuk jawatankuasa khas antara parti yang dibentuk di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“PBS mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas antara parti di bawah DUN bagi mencari penyelesaian jangka panjang kepada isu berterusan melibatkan PATI dan tanggungjawab mereka yang menetap di Sabah.

“Adalah penting untuk mematuhi undang-undang, sama ada di negeri atau negara keseluruhannya. Ia mesti telus dan semua input daripada penggubal undang-undang Sabah perlu diambil kira. Ini adalah pendirian PBS,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini bagi menjawab gesaan Harris mengenai pengeluaran pas sementara khas untuk PATI walaupun ia ditolak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada awal tahun lalu.

Maximus berkata PBS tidak akan sewenang-wenangnya bersetuju dengan gesaan Harris kerana undang-undang dan peraturan negara mesti dihormati, manakala keselamatan jangka panjang rakyat Sabah atau rakyat Malaysia di Sabah, mesti dilindungi dan terjamin.

“Di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Sabah mempunyai hak ke atas imigresen. Oleh itu, perkara mengenai IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci adalah di bawah kawalan kerajaan negeri sepenuhnya.

“Justeru, adalah wajar bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat dalam menentukan siapa yang boleh tinggal di Sabah secara tetap, atau sebaliknya.

“Sudah tiba masanya untuk kerajaan persekutuan dan negeri mengambil tindakan serius bagi menyelesaikan isu yang telah lama berlarutan ini.

“Namun, perlu diingat bahawa semua tindakan mesti berpandukan undang-undang negara dan peraturan dalam kuasa negeri.

“Tiada lagi ruang untuk permainan politik atau penyalahgunaan undang-undang imigresen. PBS telah lama mengetengahkan isu ini dan mempertahankan bahawa Sabah adalah untuk rakyat asal Sabah dan rakyat Malaysia tulen,” tegasnya.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu menjelaskan cadangan sedemikian perlu diteliti melalui perbincangan intensif dan ditapis oleh jawatankuasa khas yang terdiri daripada penggubal undang-undang Sabah.

“Mengapa timbulkan semula sesuatu yang telah ditolak? Pengundi Kimanis telah menyuarakan kekecewaan mereka terhadap cadangan Pas Sementara Sabah (PSS) oleh Parti Warisan Sabah (WARISAN) melalui undian mereka pada PRK Kimanis tahun lalu.

“Perkara seperti itu tidak sepatutnya dicadangkan semula, apa lagi tanpa penelitian pemimpin Sabah. Sebaiknya ia dilakukan melalui jawatankuasa khas antara parti dan dalam parti di bawah DUN Sabah,” katanya.

Maximus menjelaskan terdapat dua kategori PATI di Sabah, satu dikategorikan sebagai pendatang asing yang mempunyai dokumen, manakala satu lagi pendatang asing tanpa dokumen.

“Kategori yang didokumenkan melibatkan tiga kelas iaitu pemegang IMM13 berjumlah 51,645; kedua, pemegang Kad Burung-Burung berjumlah 36,892 dan ketiga, Sijil Banci berjumlah 47,519.

“Jika dijumlahkan tanggungan dan ahli keluarga, kumpulan ini dianggarkan setengah juta di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Maximus berkata di bawah kategori warga asing tanpa izin, mereka dianggarkan antara satu juta hingga 1.5 juta, termasuk tanggungan mereka.

Tambah beliau, terdapat warga asing yang menerima pas kerja di bawah pelbagai program seperti program pengampunan yang membolehkan mereka diambil sementara sebagai pekerja asing sama ada oleh syarikat perladangan dan pembinaan melalui agensi kerajaan berkaitan, iaitu jabatan Buruh dan Imigresen.

“Mereka yang tidak diupah atau tinggal di Sabah tanpa dokumen yang sah harus dianggap sebagai menyalahi undang-undang. Mereka seharusnya ditahan dan dihantar pulang.

“Pendirian PBS mengenai PATI adalah mudah – tangkap dan hantar pulang. Pasukan keselamatan dan penguatkuasaan memainkan peranan penting dalam memastikan mereka ini tidak berada di dalam negeri dan negara kita secara haram.

“Ini adalah perkara yang sangat serius dan sensitif kepada rakyat Sabah dan atas sebab itu, kami di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak bersetuju untuk melibatkan diri dengan masyarakat dan sebarang cadangan daripada mereka akan dikemukakan kepada Majlis Khas MA63 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Beliau menambah, di bawah Keselamatan Negeri Sabah dan Sarawak yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri, yang mana Sabah dan Sarawak diwakili Timbalan Ketua Menteri dan Peguam Besar negeri serta pegawai lain yang berkaitan akan menumpukan perhatian dan usaha untuk menangani isu berkaitan IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci mulai tahun depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|