Promosi tarik pelancong Turki ke Sabah

Promosi tarik pelancong Turki ke Sabah

Kota Kinabalu: Sabah merancang untuk meningkatkan promosi pelancongan di Turki sebagai antara langkah untuk menarik kedatangan pelancong luar dalam usaha memacu semula pertumbuhan sektor pelancongan negeri.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata perkara itu adalah antara yang dibincangkan ketika pertemuannya dengan Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Turki, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir siang tadi.

Jafry (dua kiri) ketika pertemuan dengan Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Turki, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir.

Jafry berkata, Sabah mempunyai banyak destinasi pelancongan menarik yang mampu memikat hati pelancong dari negara berkenaan.

“Sabah memiliki banyak kawasan pemandangan indah untuk produk pelancongan alam semulajadi dan keunikan budaya yang tersendiri.

“Rakyat Turki juga gemarkan aktiviti seperti menyelam dan saya pasti mereka akan melancong ke Sabah kerana salah satu lokasi menyelam iaitu Pulau Sipadan adalah antara destinasi menyelam terunggul didunia,” katanya.

Dalam perjumpaan itu, beberapa perkara lain turut dibincangkan termasuk berkaitan cabaran industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 serta inisiatif bagi memulihkan semula industri pelancongan dan kebudayaan.

Dalam pada itu, Tengku Mohd Dzaraif turut berkongsi maklumat berkaitan promosi pelancongan yang boleh dilakukan di Turki, antaranya menerusi ekspo dan pameran melalui platform digital.

Sementara itu, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) turut mengadakan persembahan produk pelancongan menerusi majlis makan tengah hari bersama pemain industri pelancongan Turki.

Ia dijangka bakal membuka ruang dan peluang rangkaian kerjasama dalam sektor pelancongan yang dapat membawa kebaikan kepada kedua-dua negara.

Berdasarkan statistik, jumlah kemasukan pelancong Turki ke Malaysia pada 2019 saja adalah seramai 15,290 orang daripada 26.1 juta jumlah keseluruhan pelancong antarabangsa yang datang ke negara ini pada tahun berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|