13 kertas siasatan dibuka sepanjang musim banjir

13 kertas siasatan dibuka sepanjang musim banjir

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka 13 kertas siasatan jenayah berkaitan harta benda sepanjang musim banjir yang melanda ibu negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, semua kertas siasatan berkenaan dibuka bermula 17 hingga 23 Disember lalu.

Bagaimanapun katanya, semua laporan berkenaan hanya diterima di bawah Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor.

“Empat kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri motosikal.

“Manakala sembilan lagi kes mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana menceroboh kedai, pasaraya dengan melakukan kecurian di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Abdul Jalil berkata, setakat ini 43 suspek juga sudah ditahan membabitkan 40 lelaki dan tiga wanita.

Katanya, semua kes masih dalam siasatan dan akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu, Abdul Jalil berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan harta benda masing-masing.

Selain itu katanya, masyarakat juga dinasihatkan supaya mematuhi sebarang arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa demi keselamatan dan ketenteraman awam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|