Kota Kinabalu: Pelbagai minuman keras yang cuba diseludup berjaya dirampas dalam operasi di Jalan Papar Lama, di sini, semalam.
Operasi jam 9 malam itu dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu yang membuat pemantauan di kawasan berkenaan hasil maklumat diterima.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, hasil pemerhatian, pasukan operasi mengekori sebuah kenderaan yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, sebaik berjaya ditahan, pemeriksaan mendapati kenderaan membawa beberapa plastik hitam berisi minuman keras disyaki tidak bercukai.
“Nilai rampasan minuman keras termasuk kenderaan yang dirampas dianggarkan berjumlah RM39,000 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Roslan berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
Sehubungan itu, Roslan berkata, masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya diminta supaya terus membantu menyalurkan maklumat.
Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di talian 0132831197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga serta terkawal.
-Deasoka