Cubaan PATI menyelinap masuk berjaya dihalang

Cubaan PATI menyelinap masuk berjaya dihalang

Tawau: Cubaan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke daerah ini, semalam, berjaya dihalang Pasukan Polis Marin (PPM).

Semua warga asing dari negara jiran itu dikesan cuba dibawa masuk menggunakan bot tempatan melalui kawasan laut Sungai Melayu, Pulau Sebatik.

Cubaan warga asing masuk ke daerah ini berjaya dihalang sebelum diusir semula oleh Pasukan Polis Marin yang sentiasa memantau perairan negara. Pix Ihsan PPM

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, bot yang dikendalikan seorang lelaki tempatan.

Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi mendapati tiga penumpang berusia 35 hingga 42 tahun adalah warganegara Indonesia.

“Juragan bot dan semua penumpang diberikan penerangan berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sepertimana yang ditetapkan dalam Perintah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998.

“Bot kemudiannya diiring keluar dari perairan negara dan diarahkan supaya tidak kembali semula ke negara ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ridzauddin berkata, tindakan itu dilakukan sebagai usaha mengekang penularan wabak penyakit Covid-19.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM Tawau akan terus komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan kawalan pergerakan di kawasan perairan negara khususnya Tawau.

Katanya, ia bukan saja mengekang penularan wabak penyakit pandemik Covid-19 tetapi juga bagi menghalang mana-mana pihak yang cuba membolosi persempadanan negara.

Sementara itu, dalam kes yang berasingan, Unit Risikan Marin (URM) PPM Tawau berjaya menahan 13 Warganegara Indonesia, 21 Disember lalu.

Ridzauddin berkata, semua warga asing membabitkan lima lelaki dan lapan wanita terbabit berjaya dihalang memasuki perairan negara ini dan terus diusir keluar.

“PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk membantu menyalurkan sebarang maklumat dalam mengekang jenayah terutamanya jenayah rentas sempadan.

“Maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197 atau berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628.

“Ia bagi memastikan kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|