Penampang: Biarpun baru diserbu dua hari lalu, sebuah pusat hiburan di Jalan Penampang Baru, di sini, ternyata masih berdegil apabila sekali lagi diserbu, awal pagi tadi.
Dalam serbuan Op Bersepadu Pencegahan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang jam 1 pagi itu, seramai 33 pengunjung dan pemilik premis dikenakan kompaun
selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sebelum serbuan dijalankan, seramai 13 pegawai dan 51 anggota menjalankan Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah di sekitar daerah Penampang dan Putatan.
Katanya, operasi berkenaan dipecahkan dalam beberapa pasukan yang melakukan rondaan cegah jenayah dan sekatan jalan raya.
“Ketika penugasan, beberapa premis diperiksa di kawasan daerah ini termasuk pusat hiburan berkenaan yang beroperasi meskipun masih tidak dibenarkan lagi.
“Ketika pemeriksaan pasukan operasi mendapati muzik sedang dimainkan dan pengunjung leka berhibur tanpa mengamalkan penjarakan fizikal,” katanya ketika ditemui.
Mohd Haris berkata, pasukan polis menjalankan penguatkuasaan dengan mengeluarkan kompaun kepada 33 pengunjung dan pemilik premis berkenaan.
“Pasukan polis juga turut merampas beberapa peralatan muzik di premis pusat hiburan berkenaan.
“Serbuan ini adalah kali kedua selepas seramai 82 individu dikompaun kerana gagal mematuhi SOP PPN Fasa 4, pada Khamis lalu,” katanya.
Mengulas mengenai operasi bersepadu itu, beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan 35 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Katanya, operasi ini dijalankan bagi mengekalkan pematuhan SOP PPN Fasa 4 di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai berkumpul termasuk di kawasan kampung di daerah ini dan Putatan.
“Jadi kita tidak mahu apabila berlaku berkumpulan di dalam premis mahupun di tempat-tempat awam akan berlaku jangkitan dan juga kluster baru akan wujud di daerah ini.
“Oleh itu, dinasihatkan kepada mereka supaya sentiasa mematuhi SOP bagi membendung penularan wabak Covid-19 dan tiada kluster-kluster baru akan wujud di dalam daerah ini,” katanya.
-Deasoka