Tongkang rosakkan terumbu karang

Tongkang rosakkan terumbu karang

Semporna: Lokasi aktiviti selaman popular di Pulau Mabul, di sini, dikhuatiri terjejas selepas beberapa kawasan terumbu karang rosak akibat dilanggar sebuah tongkang membawa bahan binaan.

Kejadian itu disedari pihak pengurusan syarikat pelancongan di pulau berkenaan selepas terkejut
dengan kehadiran tongkang berkenaan.

Pihak pengurusan syarikat berkenaan dikatakan ada berbincang dengan kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja pembangunan supaya tidak merapati pulau berkenaan namun ia tidak diendahkan.

Tongkang membawa muatan bahan binaan belabur di kawasan pulau Mabul, Semporna.

Salah seorang individu yang enggan dikenali berkata, dia memberitahu kontraktor terbabit supaya tidak masuk ke kawasan pulau berkenaan.

Katanya, ia berikutan tongkang yang digunakan terlalu besar sehingga tersangkut pada terumbu karang walaupun ketika air pasang.

“Kontraktor berkenaan langsung tidak mempedulikan nasihat kami. Malah mereka seperti tidak kisah dengan kerosakkan yang dilakukan.

“Mereka sepatutnya menggunakan bot atau tongkang kecil untuk mengangkut baham binaan bagi mengelakkan kerosakan pada terumbu karang di pulau ini,” katanya.

Keadaan terumbu karang yang rosak akibat dilanggar tongkang.

Menurutnya, kejadian itu bukan saja akan menjejaskan perniagaan mereka tetapi juga merosakkan keindahan alam sekitar yang menjadi pusat tumpuan dunia.

“Harus diakui, kawasan ini menjadi habitat spesies terumbu karang yang jarang ditemui selain terkenal sebagai tapak selaman dan lokasi latihan untuk kursus menyelam eko Reef Check Malaysia,” katanya.

Sementara itu, pengasas kumpulan konservasi tempatan Green Semporna, Adzmin Fatta berkata, kejadian itu amat mendukacitakan.

Katanya, usaha penjagaan yang dilakukan sebelum ini menerusi program konservasi marin bersama komuniti tempatan di Pulau Mabul, musnah begitu saja.

“Ramai penduduk yang amat sedih apabila diberitahu mengenai kerosakan itu kerana banyak aktiviti penjagaan dan pembersihan pantai di lokasi itu untuk melindungi terumbu karang yang ada.

“Terumbu karang memerlukan masa bertahun-tahun untuk tumbuh semula, kejadian ini amat mendukacitakan,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|