TLDM adakan latihan bersama TLDA

TLDM adakan latihan bersama TLDA

Kota Kinabalu: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), hari ini, menjalani latihan menerusi penyertaan dalam Passage Exercise (PASSEX) bersama kapal Tentera Laut Diraja Australia (TLDA).

Latihan yang disertai menggunakan aset KD Perak dan KD Kedah diadakan bersama kapal perang milik Australia, HMAS SIRIUS (O 266) di sekitar Perairan Kota Kinabalu.

Antara latihan yang dijalankan KD Perak dan KD Kedah bersama HMAS Sirius milik Tentera Laut Australia.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas, Pemerintahan Armada Timur Sabah, dalam kenyataan hari ini berkata, PASSEX adalah salah satu inisiatif yang sering dilaksanakan bertujuan memperkukuh hubungan diplomasi antara TLDM dan tentera laut serantau.

Katanya, menerusi pelaksanaan eksesais berkenaan, warga Navy People turut berpeluang menguji kemahiran serta kebolehupayaan operasi bersama walaupun dalam situasi pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

“HMAS SIRIUS iaitu kapal bantuan logistik yang berkhidmat hampir 15 tahun bersama TLDA, mampu melaksanakan siri ‘Replenishment At Sea’ (RAS) bersama dua kapal dalam satu tempoh masa sama.

“Aset berkenaan turut mempunyai dek helikopter bagi pelaksanaan sebarang operasi,” katanya.

Menurutnya, kapal berkenaan sedang melaksanakan misi pelayaran terakhir melalui perairan Sabah dan akan kembali ke Pangkalan TLDA bagi penamatan perkhidmatan serta pelucutan tauliahnya secara rasmi pada Disember depan.

Sementara itu, Pemerintahan Armada Timur Sabah menegaskan selain pelaksanaan evolusi RAS, KD Perak dan KD Kedah turut berpeluang melaksanakan siri evolusi manuver taktikal dan membentuk formasi di laut sebelum meneruskan pelayaran masing-masing.

“Secara keseluruhan, eksesais ini mencapai objektifnya serta menguji kemampuan aset TLDM dalam melaksanakan operasi bersama aset negara lain.

“Setiap evolusi yang berjaya dilaksanakan telah membuktikan komitmen, profesionalisme dan kesediaan kedua warga Angkatan Laut ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|