Covid-19 Sabah: Kuala Penyu catat kes terendah

Covid-19 Sabah: Kuala Penyu catat kes terendah

Kota Kinabalu: Daerah Kuala Penyu hanya mengumpul sebanyak 82 kes daripada 28,824 kes Covid-19 terkumpul di seluruh Sabah dalam tempoh dua minggu sejak 31 Ogos lalu sehingga semalam.

Catatan itu adalah yang terendah dalam kalangan 27 daerah di seluruh negeri dan satu-satunya daerah mencatat kes terkumpul dua angka sepanjang tempoh berkenaan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daerah itu juga hanya mencatat satu kes baharu hari ini, diikuti Sipitang dengan dua kes baharu.

Katanya, daerah Sipitang berada di kedudukan kedua kadar jangkitan terendah sepanjang dua minggu lalu dengan jumlah terkumpul sebanyak 213 kes.

“Daerah Kuala Penyu adalah satu-satunya daerah yang mencatat kes dua angka sepanjang dua minggu bermula pada 31 Ogos lalu sehingga semalam.

“Sebanyak 16 daerah pula mencatat kes tiga angka sepanjang tempoh itu bermula dengan Sipitang sebanyak 213 kes, diikuti Semporna (238), Tambunan (239) hingga yang tertinggi sebanyak 968 kes iaitu di Putatan.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 10 daerah mencatat kes empat angka dengan yang tertinggi sebanyak 5,058 kes di Kota Kinabalu, diikuti Sandakan sebanyak 3,566 kes dan Tuaran sebanyak 2,229 kes,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata Kota Kinabalu turut mencatat kes tertinggi hari ini dengan sebanyak 328 kes, diikuti Sandakan (173) dan Tuaran (155).

Daerah lain yang mencatat kes empat angka dalam tempoh dua minggu lalu katanya, ialah Penampang dengan 1,866 kes, Papar (1,707), Tawau (1,592), Lahad Datu (1,413), Keningau (1,214), Kota Marudu (1,099) dan Kota Belud (1,084).

Sementara itu, Sabah hari ini mencatat 1,784 kes baharu COVID-19 dengan 16 kes kematian, iaitu 10 kes dilaporkan di Kota Kinabalu, dua kes di Papar, manakala masing-masing satu kes kematian di Kota Marudu, Tawau, Telupid dan Beluran.

Masidi berkata, jumlah kes baharu hari ini menunjukkan peningkatan sebanyak 135 kes berbanding 1,649 kes yang dilaporkan semalam, manakala kematian menurun 23 kes berbanding 39 kes semalam.

“Bilangan pesakit Covid-19 yang sembuh hari ini pula seramai 2,138 orang, manakala 4,483 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,614 orang di hospital, 2,787 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam, 85 orang di Pusat Tahanan Sementara dan penjara serta sembilan orang di fasiliti swasta.

“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal pula seramai 190 orang merangkumi 125 di ICU atau ‘repurposed critical care’ serta 65 di wad terbuka dan 70 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|