Mangsa masih belum ditemui, SAR disambung esok

Mangsa masih belum ditemui, SAR disambung esok

Kota Belud: Operasi hari ketiga yang dijalankan pihak berkuasa bagi mencari warga emas yang hilang di Kampung Kalibungan Rosok, di sini, hari ini, masih gagal menemui mangsa.

Pencarian yang meliputi keluasan 1.5 kilometer persegi itu dijalankan polis dengan bantuan pelbagai agensi dan penduduk kampung menjadikan kekuatan keseluruhan sebanyak 95 individu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, operasi turut dibantu Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pangkalan Sabah.

Katanya, ia bagi meninjau kawasan meliputi radius keluasan empat kilometer persegi di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Luas keseluruhan radius pencarian mangsa bermula dari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dibuka sehingga hari ini sudah meliputi keluasan empat kilometer persegi.

“Bagaimanapun, operasi SAR hari ini masih gagal menemui mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sahimi berkata, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) terpaksa ditutup pada jam 5.45 petang berikutan keadaan cuaca hujan lebat dan semakin gelap.

“Operasi pencarian akan disambung semula pada jam 8 pagi esok,” katanya.

Dalam kejadian Ahad lalu, wanita warga emas Tianun Padis, 86, hilang selepas dikatakan memberi makan kepada ternakan ayam kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Susulan kejadian itu, operasi mencari dan menyelamat segera dijalankan di kawasan berhampiran namun sehingga kini gagal menemui mangsa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|