Warga emas hilang sejak Sabtu lalu ditemui selamat

Warga emas hilang sejak Sabtu lalu ditemui selamat

Kota Belud: Seorang wanita warga emas yang hilang sejak Sabtu lalu, di Kampung Kalibungan Rosok, di sini, ditemui selamat, pagi tadi.

Mangsa, Tianun Padis, 86, ditemui berjalan seorang diri kira-kira pada jam 7.30 pagi oleh pasangan suami isteri ketika sedang dalam perjalanan menaiki kenderaan ke Hospital Kota Belud.

Difahamkan, ketika ditemui, mangsa berada keadaan kepenatan serta mengalami kecederaan ringan sebelum dihantar pulang ke rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, mengikut maklumat diterima, pasangan suami isteri terbabit melihat mangsa sedang berjalan keluar dari jalan laluan kenderaan pacuan empat roda di kampung Ginapas, di sini.

Katanya, kedua-dua mereka mengenali mangsa yang diletakkan sebagai orang dicari oleh pihak berkuasa kemudiannya mengambil warga emas terbabit sebelum dihantar balik ke rumahnya.

“Jarak mangsa ditemui ialah kira-kira 1.24 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK). Mangsa ditemui dalam keadaan kepenatan dan mengalami kecederaan ringan.

“Mangsa berada dalam keadaan selamat dan sedang menerima rawatan di Hospital Kota Belud,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sahimi berkata, dengan penemuan warga emas terbabit, PKTK ditutup dengan rasminya pada jam 9.30 pagi, hari ini.

Dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa dilaporkan hilang selepas memberi makan kepada ternakan ayam dan kucing yang terletak kira-kira 500 meter dari kediamannya.

Susulan itu, anak mangsa bersama penduduk kampung melakukan pencarian di kawasan berhampiran namun gagal menemui mangsa sebelum laporan polis dibuat bagi mendapatkan bantuan mencari warga emas terbabit.

Operasi mencari dan menyelamat dijalankan pihak berkuasa selama empat hari membabitkan keluasan kawasan pencarian sehingga mencecah empat kilometer persegi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|