Tiga lori ditahan bersama minuman keras tanpa cukai

Tiga lori ditahan bersama minuman keras tanpa cukai

Labuan: Tiga lori 10 tan bersama muatan pelbagai minuman keras seludup bernilai keseluruhan RM663,000 ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan, semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, tiga lelaki yang ditahan adalah pemandu lori yang cuba melalui pemeriksaan di Pekan Menumbok, di sini.

Katanya, pemeriksaan mendapati semua ketiga-tiga lori berkenaan membawa minuman yang tanpa cukai yang sah.

“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa jenis minuman keras tidak bercukai disyaki cuba diseludup ke tanah besar Sabah.

“Ketiga-tiga lori berkenaan dipercayai bergerak dari Labuan menuju ke Menumbok dengan menaiki feri kenderaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Saidul berkata, semua tangkapan dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) dan tidak lebih daripada 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, Saidul berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|