43,200 dos lagi vaksin CanSino tiba di Sabah

43,200 dos lagi vaksin CanSino tiba di Sabah

Kota Kinabalu: Sebanyak 43,200 dos lagi vaksin Cansino tiba di Sabah hari ini menjadikan sebanyak 94,000 dos vaksin Covid-19 itu sudah dihantar ke negeri ini sejak semalam.

Kumpulan kedua vaksin dos tunggal itu tiba di MasKargo, Terminal Satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 9.05 pagi tadi.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentabiran), Datuk Masnah Matsalleh yang menyambut ketibaan vaksin berkenaan, berkata sebanyak 86,000 dos lagi dijadual tiba Jumaat ini.

“Vaksin ini akan diberi keutamaan kepada penduduk di kawasan pedalaman, luar bandar dan pulau di seluruh Sabah. Pengagihannya sudah ditetapkan di daerah-daerah oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


“Setakat ini, vaksin yang diterima adalah mencukupi bagi keperluan sasaran yang telah ditetapkan. Kumpulan pertama vaksin CanSino tiba semalam iaitu sebanyak 50,800 dos,” katanya.

Turut hadir menyambut ketibaan vaksin itu ialah Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pengurusan Logistik Vaksin, Ag Shahminan Ag Sahari.

Masnah yang juga Pengarah Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Sabah berkata, dengan bekalan tambahan vaksin dari beberapa negeri, Sabah berupaya menampung sasaran pemberian vaksin di negeri ini.

“Selain kumpulan kedua vaksin CanSino ini, kita juga menerima 70,000 dos vaksin SinoVac pada hari ini. Pada minggu ini, kita juga menerima beberapa jenis vaksin seperti Pfizer sebanyak 252,720 dos pada Isnin.

“Kita juga akan menerima bekalan vaksin dari Sarawak dan Selangor yang dijangka tiba pada Jumaat ini. Jadi, bekalan vaksin yang ada ini dapat menampung sasaran pemberian vaksin di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|