Kota Kinabalu: Parti Maju Sabah (SAPP) meluahkan rasa kecewa berikutan penghantaran vaksin dos tunggal CanSino ke Sabah yang rendah berbanding 200,000 dos yang dilaporkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat lalu.
Presidennya, Datuk Yong Teck Lee, berkata 53,000 dos kumpulan pertama vaksin CanSino yang dilaporkan tiba di negeri ini semalam hanya mewakili tiga peratus daripada 1.8 juta dos yang diminta kerajaan negeri.
“Ini tidak boleh diterima, maka saya mengulangi gesaan agar bekalan vaksin CanSino dari Beijing dihantar terus ke Sabah tanpa melalui KLIA, kekhuatiran bahawa vaksin mungkin akan dihantar ke tempat lain adalah berasas.
“Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) harus berlaku adil kepada Sabah dan memastikan semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sabah beroperasi dengan kemampuan maksimum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas bekas Ketua Menteri Sabah itu, vaksinasi di Sabah perlu dipercepatkan berikutan situasi semasa jangkitan Covid-19 di negeri ini yang semakin membimbangkan dengan kes baharu kini melebihi 3,000 kes.
Tambahnya, walaupun bangga dengan pencapaian Malaysia menjadi negara yang mencatat kadar vaksinasi tertinggi di dunia, namun Sabah masih jauh ketinggalan dan menjadi negeri tercorot apabila baru mencapai 31.4 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin setakat ini.
“Malah, ada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini dilaporkan terpaksa menangguhkan pemberian vaksin dan menunda tarikh temujanji pada saat akhir kerana kekurangan bekalan.
“Sebagai contoh PPV Dewan Masyarakat Pa’ Musa Beaufort hanya mampu memberikan 100 dos vaksin hari ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Teck Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata, Sabah meletakkan harapan tinggi kepada vaksin dos tunggal CanSino bagi mempercepatkan program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) terutama kepada penduduk di luar bandar yang mengalami kesukaran ke PPV terdekat.
Jelasnya, vaksin CanSino menyelesaikan isu bebanan penerima vaksin luar bandar yang ketika ini perlu dua kali berulang-alik bagi melengkapkan dua dos vaksin.
Teck Lee berkata, Ketua Menteri Sabah, Datuk Haiji Noor, sebelum ini ada mengeluarkan kenyataan berkaitan vaksin itu namun dikhuatiri usaha kerajaan negeri akan terbantut sekiranya KKM gagal menepati janji jaminan bekalan vaksin dan pengagihan menepati masa ke Sabah.
“Setiap penangguhan bekalan vaksin adalah kritikal dan boleh mendedahkan jangkitan kepada orang awam serta melambatkan proses pemulihan ekonomi di Sabah,” katanya.
-Deasoka