Tiga HOM, LMS Rencong, aset terbaru TLDM Armada Timur

Tiga HOM, LMS Rencong, aset terbaru TLDM Armada Timur

Kota Kinabalu: Beberapa aset baharu akan ditempatkan di Markas Pemerintahan Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjelang tahun hadapan.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, antara aset yang bakal diterima adalah kapal misi pesisir (LMS) keempat serta tiga helikopter operasi maritim (HOM) AW139.

Katanya, pihaknya sedang menunggu proses pemerolehan LMS keempat yang diberi nama KD Rencong yang dijangka akan diterima pada penghujung tahun ini.

“Aset ini akan ditempatkan di Armada Timur sepertimana tiga LMS yang diperolehi sebelum ini.

“TLDM juga memperoleh tiga HOM dan dua daripada helikopter terbabit dijangka akan diterima awal tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Upacara Pentauliahan KD Badik di Tambatan Pangkalan TLDM Sepanggar, di sini, hari ini.

Mohd Reza berkata, penempatan aset LMS ini seperti seperti KD Keris, KD Sundang dan KD Badik bertujuan mengukuhkan dan meningkatkan lagi tahap keselamatan di perairan negara khususnya di Sabah.

Katanya, ia berikutan kesesuaian kapal berkenaan bagi menjalankan operasi di perairan negeri ini.

“Aset ini juga adalah sebagai persediaan terhadap sebarang ancaman di perairan negara setiap masa,” katanya.

Dalam upacara bersejarah dan penuh dengan adat istiadat serta tradisi TLDM itu, Mohd Reza turut membacakan Perintah Pentauliahan sebagai simbolik kepada Pentauliahan Kapal.

Selain itu, beliau turut memakaikan insignia pemerintahan kepada Pegawai Memerintah KD Badik Komander Mohd Sharedzwan Saharudin.

Acara turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Heavy Industry Corporation (BHIC) Sharifuddin Md Zaini Al-Manaf.

Sementara itu, Mohd Reza berkata, KD Badik yang tiba di PTKK pada 25 Sepetember lalu, mengharungi pelayaran sejauh 1,836 batu nautika.

“KD Badik mula dibina pada 18 September 2019 di Wuchang Shipyard Shuangliu Base, Hubei China.

“Ia adalah kapal ketiga daripada empat buah kapal yang disiapkan oleh China Shipbuilding and Offshore Corporation.

“Seperti yang dikehendaki oleh pihak TLDM, LMS adalah sebuah kapal yang berupaya melaksanakan misi tertentu di pesisir laut dan lautan luas,” katanya.

Menurutnya, kapal Binaan LMS yang kompak dan versatile serta dilengkapi sistem dan persenjataan ringan mampu meningkatkan kesiapsiagaan Armada TLDM dalam mendominasi keunikan geografi kawasan perairan Malaysia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|