KEPKAS pandang serius isu gangguan seksual

KEPKAS pandang serius isu gangguan seksual

Kota Kinabalu: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS) memandang serius berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang bekas pekerja wanita di Unit Perlindungan Hidupan Liar.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, ia berhubung satu kenyataan di laman sosial facebook yang ditulis oleh pekerja di unit terbabit yang berunsur gangguan seksual.

Katanya, Jabatan Hidupan Liar sudah mengambil tindakan pada 20 Oktober lalu terhadap Dr Senthivel K.S.S Nathan.

Katanya, tindakan itu diambil mengikut Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah Bil. 225 (2) atas kesalahan mengikut peraturan 209(2)(a) dan 209(2)(b) kerana membuat penyataan bertulis yang bersifat gangguan seksual di halaman Facebook pada 18 Oktober lalu.

“Perbuatan itu mencemarkan nama baik perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sementara itu, berhubung satu lagi dakwaan bekas pekerja terbabit yang mengatakan bahawa wang Unit Perlindungan Hidupan Liar disalahguna, Jafry berkata, perkara berkenaan sedang dalam siasatan.

Katanya, pihak jabatan sudah meminta pencerahan daripada CEO Malaysian Palm Oil Council pada 8 March 2019.

“Menurut laporan yang diberi, penggunaan kewangan selain kegunaan kerja unit itu adalah dibenarkan mengikut kebijaksanaan pegawai yang mengawal kewangan.

“Bagaimanapun, tindakan selanjutnya terhadap pegawai terbabit akan ditentukan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Jafry berkata, KEPKAS sama sekali tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pekerja yang mengambil kesempatan atau menyalahguna kuasa.

Katanya, kementerian amat mengutamakan keselamatan, kebajikan, dan kualiti seluruh warganya, khususnya dalam mengamalkan budaya integriti dan profesional yang tinggi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|