Siasat dakwaan gangguan seksual babitkan kakitangan awam – Shahelmey

Siasat dakwaan gangguan seksual babitkan kakitangan awam – Shahelmey

Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah mahu siasatan secara menyeluruh dilakukan terhadap kakitangan awam yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap wanita di negeri ini.

Menterinya, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata tindakan tegas wajar dikenakan terhadap mana-mana pelaku termasuk kakitangan awam yang didapati melakukan perbuatan itu terhadap rakan sekerja mereka.

Beliau berkata, wanita yang menjadi mangsa perbuatan berkenaan juga tidak perlu takut untuk tampil membuat laporan bagi melindungi diri dan memastikan gangguan seksual terhadap mereka dihentikan.

“Kementerian saya memandang serius terhadap isu gangguan seksual terhadap wanita lebih-lebih lagi membabitkan kakitangan awam dan kita mahu mereka yang didakwa melakukan perbuatan itu disiasat secara menyeluruh selaras dengan pekeliling kerajaan berkaitan larangan gangguan seksual di tempat kerja.

“Bagi wanita yang menjadi mangsa, Jabatan Hal Ehwal Wanita boleh menjadi tempat mengadu dan meminta bantuan berhubung apa saja gangguan seksual yang berlaku terhadap mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Peruntukan Kepada 20 Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Sabah, di sini, hari ini.

Shahelmey diminta mengulas dakwaan seorang pegawai kanan sebuah unit di Jabatan Hidupan Liar Sabah di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri yang dikatakan melakukan gangguan seksual terhadap kakitangan wanita di unit berkenaan.

Beliau berkata, wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual juga boleh mendapatkan khidmat kaunseling dan bantuan guaman di Jabatan Hal Ehwal Wanita negeri sekiranya perlu.

Dakwaan gangguan seksual dilakukan pegawai terbabit didedahkan bekas kakitangan wanita di unit tempat pegawai terbabit bertugas melalui perkongsian di akaun Facebooknya beberapa hari lalu.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin dalam kenyataan medianya berhubung perkara itu berkata pihaknya memandang serius dakwaan itu dan tindakan awal sudah diambil terhadap pegawai terbabit.

Beliau berkata, pegawai terbabit sudah dikenakan tindakan mengikut Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah Bil 225 (2) atas kesalahan di bawah peraturan 209(2)(a) dan 209(2)(b) kerana membuat penyataan bertulis yang bersifat gangguan seksual di halaman Facebook pada 18 Oktober 2021 lalu.

“Kementerian sama sekali tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kakitangan yang mengambil kesempatan atau menyalah guna kuasa kerana kementerian amat mengutamakan keselamatan, kebajikan dan kualiti seluruh warganya, khususnya dalam mengamalkan budaya integriti dan profesional yang tinggi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|