Pesara polis didenda mengaku bersalah terima rasuah

Pesara polis didenda mengaku bersalah terima rasuah

Kota Kinabalu: Seorang pesara polis mengaku bersalah atas pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Tertuduh, Jangli Mamat, 58, kemudiannya dikenakan denda sebanyak RM3,000 oleh Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, pada 6 Oktober 2016, 25 Februari dan 3 Mac 2017 lalu, Jangli yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud menerima wang RM650 daripada seorang lelaki yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Dalam pertuduhan itu, Jangli mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif yang pertama manakala pertuduhan alternatif kedua dan ketiga digugurkan oleh Abu Bakar.

Sementara itu, dalam prosiding yang sama, seorang pegawai berpangkat Inspektor dan anggota berpangkat Koperal yang bertugas di IPD Kota Belud turut berdepan pertuduhan menerima rasuah.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima rasuah membabitkan nilai keseluruhan RM4,400.

Tertuduh, Bobby Rhyne Warry Nawari, 38, dikenakan lapan pertuduhan antara 1 Mei 2017 hingga 30 Ogos 2017 kerana menerima wang sebanyak RM3,800.

Manakala Jameswell Anak Lakin, 44, pula berhadapan tiga pertuduhan antara 4 November 2016 hingga 16 Januari 2017 kerana menerima suapan sebanyak RM600.

Wang berkenaan diambil sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin kepada Bobby Rhyne sebanyak RM10,000 dengan deposit RM5,000 bersama seorang penjamin.

Tertuduh turut diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri kepada SPRM Kota Kinabalu setiap dua bulan sekali.

Manakala Jameswell pula dibenarkan ikat jamin dengan wang sebanyak RM6,000 dan deposit RM3,000 bersama seorang penjamin.

Tertuduh turut diarah menyerahkan pasport dan perlu melaporkan diri kepada SPRM Cawangan Sibu setiap dua bulan sekali.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh pada 6 Disember depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Izzati Sapifee manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam masing-masing.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|