Tidak makan ubat, pesakit mental mengamuk di surau KKIA

Tidak makan ubat, pesakit mental mengamuk di surau KKIA

Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang dipercayai pesakit mental ditahan polis selepas mengamuk dan bertindak melibas pisau terhadap orang awam yang mahu menunaikan solat di surau Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, semalam.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, lelaki berusia 47 tahun itu turut mencederakan seorang angota polis menggunakan pisau ketika cuba ditenangkan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota dan pegawai dikerah bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik sampai di surau berkenaan, suspek didapati sedang memegang sebilah pisau serta berada dalam keadaan yang agresif dan cuba ditenangkan anggota polis bantuan KKIA.

“Dalam usaha menenangkan dan menangkap suspek yang bertindak agresif, salah seorang anggota mengalami kecederaan luka di jari tanga akibat terkena pisau suspek.

“Pasukan polis kemudiannya terpaksa bertindak pantas untuk menahan suspek bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, suspek yang turut mengalami sedikit luka calar di bahagian dagu kemudiannya dibawa ke balai polis KKIA untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati suspek membawa sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 21 sentimeter bersama sekeping kad orang kurang upaya (OKU) dan kad temujanji Hospital Bukit Padang.

“Suspek bertindak agresif dipercayai kerana tidak memakan ubat atas masalah mental yang dihidapinya.

“Tidak ada sebarang kecederaan yang berlaku kepada orang awam manakala anggota polis yang cedera dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Medisinar, KKIA.

“Anggota polis terbabit terpaksa menerima dua jahitan di tangan namun dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|