Kota Kinabalu: Seramai 33 pengunjung dan tiga pengusaha pusat hiburan dikompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Semua kompaun berkenaan dikeluarkan dalam Op Pematuhan Pusat Hiburan di sekitar bandar raya ini yamg bermula jam 10.30 malam dan berakhir kira-kira 2 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, operasi berkenaan dijalankan seramai 36 termasuk lapan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah
“Sebanyak tujuh pusat hiburan diperiksa di kawasan sekitar Jalan Lintas dan Cyber Perdana yang membabitkan jumlah pekerja seramai 40 orang manakala pengunjung seramai 164 individu.
“Hasilnya seramai 36 individu dikenakan kompaun termasuk tiga pengusaha mengikut Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) no4 2021 kerana melanggar SOP Fasa 3, PPN,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pasukan polis menjalankan Operasi Pematuhan di beberapa pusat hiburan di Kota Kinabalu. Gambar ihsan PDRM
Mohd Zaidi berkata, secara keseluruhannya, rata-rata premis pusat hiburan dan pelanggan yang hadir mematuhi SOP yang ditetapkan.
Bagaimanapun katanya, masih terkesan beberapa premis yang beroperasi melebihi masa yang dibenarkan.
Beberapa penghujung yang dikompaun selepas tidak menjaga penjarakkan fizikal. Gambar ihsan PDRM
“Selain itu, pelanggan juga didapati masih melanggar SOP seperti tidak membuat pendaftaran Mysejahtera dan tiada penjarakan fizikal.
“Oleh itu, polis akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa,” katanya.
-Deasoka