Guru tabika ditemui meninggal dunia dalam kereta

Guru tabika ditemui meninggal dunia dalam kereta

Kota Marudu: Seorang wanita ditemui meninggal dunia dalam kereta miliknya yang diparkir berhampiran sebuah restoran di Pusat Komersil Langkon, di sini, semalam.

Mangsa yang berusia 48 tahun terbabit pada awal ditemui tidak sedarkan diri oleh orang awam sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 7.22 malam.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai polis kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan enjin dan muzik kereta Perodua Myvi yang masih hidup.

“Sebaik kenderaan berjaya dibuka, pemeriksaan awal fizikal yang dijalankan pegawai perubatan Hospital Kota Marudu mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zairolnizal berkata, siasatan lanjut yang dijalankan tidak menemui sebarang kesan kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

Katanya, bedah siasat akan dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kematian mangsa dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|