Pemandu kereta sapu, penjaga pintu pagar ladang sawit cetus kluster Covid-19

Pemandu kereta sapu, penjaga pintu pagar ladang sawit cetus kluster Covid-19

Kota Kinabalu: Seorang pemandu kereta sapu di Ranau dan penjaga pintu pagar di sebuah ladang kelapa sawit di Kinabatangan masing-masing mencetuskan dua kluster baharu Covid-19 yang dilaporkan di Sabah hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pemandu kereta sapu berumur 37 tahun itu mencetuskan Kluster Tumbalang di Ranau selepas lelaki terbabit dikesan positif Covid-19 pada 23 Oktober lalu kerana bergejala sejak 19 Oktober.

“Saringan kontak rapat yang dilakukan pada 25 Oktober sehingga 1 November pula mendapati seramai 54 orang dari lokaliti yang sama dikesan positif Covid-19.

“Hari ini, terdapat tambahan sebanyak dua orang lagi penduduk dari Kampung Tumbalang turut dikesan positif Covid-19 melalui saringan kontak rapat di Klinik Timbua, menjadikan keseluruhan kes sebanyak 56,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu, Masidi berkata lelaki warga Indonesia berumur 47 tahun yang bekerja sebagai penjaga pintu pagar di sebuah ladang kelapa sawit mencetuskan Kluster Sawit Jati, Kinabatangan selepas dikesan positif Covid-19 pada 21 Oktober lalu.

Katanya, aktiviti persampelan kontak seterusnya mendapati seramai 25 kontak sosial, pekerja dan tanggungan masing-masing turut positif Covid-19.

“Siasatan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan yang lain,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|