Ajal ketika mahu beli kelapa

Ajal ketika mahu beli kelapa

Tawau: Seorang lelaki warga emas maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika melintas dalam kejadian di Batu 2, Jalan Apas, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 4.40 petang itu, mangsa Lateng Tanrengan, 64, parah di bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, siasatan awal mendapati, seorang lelaki berusia 36 tahun yang memandu kereta Toyota Corolla bergerak menuju ke Flat Sri Titingan.

Bagaimanapun katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang maut dikatakan cuba melintasi jalan untuk membeli kelapa di seberang jalan.

“Pemandu sempat membunyikan hon sebagai tanda amaran dan membrek namun akibat jarak yang terlalu dekat kenderaan berkenaan gagal mengelak mangsa.

“Akibat kejadian itu, mangsa tercampak ke arah cermin hadapan kenderaan sehingga menyebabkan cermin hadapan pecah dan kecederaan parah terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Peter berkata, mangsa dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Tawau untuk rawatan dan disahkan meninggal dunia pada jam 7 malam tadi.

Katanya, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenalpasti punca sebenar kemalangan berlaku.

“Pihak Polis juga akan cuba mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|