Sabah FC sangkal dakwaan salah laku, pecah amanah

Sabah FC sangkal dakwaan salah laku, pecah amanah

Kota Kinabalu: Sabah FC menyangkal dakwaan sebuah portal berita mengenai tuduhan salah laku dan pecah amanah membabitkan urusan perpindahan pemain dan beberapa dakwaan lain yang disifatkannya sebagai tidak berasas sama sekali.

Dalam satu kenyataan malam ini, kelab berkenaan turut mempersilakan mana-mana pihak untuk melakukan siasatan bagi mendapatkan kebenaran mengenai dakwaan terbabit.

Kelab itu menegaskan ia memandang serius laporan bertajuk ‘Siasat Salah Laku dan Pecah Amanah Dalam Sabah FC’ dipaparkan portal berita terbabit dalam pelaporannya hari ini.

Sabah FC menjelaskan bahawa semua urusniaga perpindahan pemain import mempunyai dokumen rasmi dengan mengikut prosedur ditetapkan serta bukan dijalankan secara sesuka hati.

Pada masa sama, katanya tiada isu ‘mark up’ berkaitan pemasangan LED di Stadium Likas seperti didakwa dalam laporan portal berkenaan.

“Sabah FC cuma membayar RM30,000 untuk kos logistik LED ke Kota Kinabalu dan ia adalah sumbangan daripada salah satu penaja kelab untuk musim ini.

“Bagi sistem Catapult pula, hanya RM65,000 dibelanjakan kelab dan ia dibeli secara terus dari Australia, tanpa membabitkan mana-mana orang tengah (ejen), tidak seperti yang dinyatakan dalam portal itu,” kata kenyataan itu.

Berikutan itu, Sabah FC mencabar sesiapa yang membuat kenyataan itu tampil menunjukkan segala bukti berkaitan dakwaan berkenaan.

Jelas kenyataan itu lagi, pengurusan Sabah FC akan membuat laporan polis berhubung tuduhan itu, selain akan mengambil tindakan undang-undang terhadap portal terbabit atau mana-mana pihak jika berterusan menabur fitnah.

“Pihak pengurusan akan membuat laporan polis untuk memaklumkan mengenai hasutan ini dan sekiranya portal online terbabit atau mana-mana pihak secara terus menerus menabur fitnah yang tidak berasas, Sabah FC tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Sabah FC percaya segala tuduhan tidak berasas ini adalah dengan niat untuk menjatuhkan imej serta kerja keras yang dibuat pihak pengurusan selama ini.

“Fokus utama kelab adalah untuk meletakkan Sabah FC di landasan yang betul di dalam mahupun luar padang,” katanya.

Portal terbabit mendakwa ada beberapa orang dalam Sabah FC menjadikan pertukaran pemain sebagai perniagaan dengan meletakkan gaji yang tinggi untuk mendapatkan keuntungan dengan mengambil sebahagian gaji pemain terbabit.

Dalam laporannya, portal terbabit turut mendakwa pembelian LED di stadium yang berharga RM300,000 boleh meningkat kepada RM800,000 apabila dibeli Sabah FC.

Ia turut mendakwa tuntutan bagi pembelian peralatan menyukat bacaan jantung yang berharga RM300 mencecah hingga RM130,000.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|