Dakwaan layanan kasar di Klinik Kesihatan Nangoh disebabkan salah faham – JKNS

Dakwaan layanan kasar di Klinik Kesihatan Nangoh disebabkan salah faham – JKNS

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menubuhkan satu jawatankuasa siasatan bebas bagi menyiasat dakwaan layanan kurang memuaskan di Klinik Kesihatan Nangoh, Beluran.

Dakwaan itu yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu antara lain mengatakan kakitangan di klinik terbabit bercakap kasar terhadap keluarga pesakit yang dibawa mendapatkan rawatan di sana.

Dalam satu kenyataan hari ini, JKNS menjelaskan siasatan jawatankuasa itu mendapati berlaku salah faham di antara kakitangan klinik terbabit dengan keluarga pengadu dalam proses pengendalian pesakit.

“Tiada layanan kasar dan kata-kata kesat dilakukan petugas kesihatan dan ini diakui sendiri oleh ahli keluarga pesakit. Pesakit sudah dibawa ke fasiliti kesihatan menggunakan kenderaan pacuan empat roda atas kerjasama staf Klinik Kesihatan Nangoh dan Pejabat Kesihatan Kawasan Beluran.

“Bagaimanapun, JKNS komited untuk menambah baik mutu perkhidmatan di fasiliti kesihatan di Sabah dan orang awam dinasihatkan agar dapat menyalurkan aduan mengikut saluran yang betul,” kata kenyataan itu.

Katanya, JKNS menyediakan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) sebagai saluran aduan agar siasatan dapat dilakukan dan mengelak kesan yang tidak diingini.

Dalam satu perkongsian di laman Facebook, seorang netizen mendakwa menerima layanan yang kasar daripada kakitangan Klinik Kesihatan Nangoh selepas membawa ibu, bapa dan abangnya menjalani saringan Covid-19.

Dakwanya, selepas keputusan diketahui mereka diminta pulang dan datang semula pada sebelah petang untuk pemeriksaan tekanan darah dan paras oksigen.

Isu layanan tidak memuaskan bermula ketika kakitangan klinik menelefon keluarga pesakit dalam nada marah-marah apabila mereka tidak datang semula ke klinik untuk menjalani pemeriksaan yang diarahkan.

Susulan pendedahan netizen terbabit, beberapa netizen lain turut tampil membuat pendedahan mengenai layanan kakitangan di klinik terbabit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|