Covid-19 Sabah: Kes naik lagi, 2 kluster baharu direkod

Covid-19 Sabah: Kes naik lagi, 2 kluster baharu direkod

Kota Kinabalu: Sabah sekali lagi mencatat peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 kepada 675 kes, selain turut mencatat dua kluster baharu, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jangkitan hari ini meningkat sebanyak 126 kes berbanding 549 kes yang direkodkan semalam.

“Sekali lagi berlaku peningkatan tinggi dalam kes harian bagi negeri Sabah, iaitu pertambahan 126 kes berbanding semalam, menjadikan jumlah keseluruhan hari ini sebanyak 675 kes.

“Sebanyak 18 daerah mencatatkan peningkatan dengan 10 daerah mencatat peningkatan ketara iaitu Ranau (+34 kes), Kota Kinabalu (+26 kes), Tuaran (+15 kes), Kinabatangan (+15 kes), Sandakan (+13 kes), Keningau (+13 kes), Sipitang (+13 kes), Kota Marudu (+12 kes), Papar (+12 kes) dan Putatan (+10 kes).

“Sebanyak sembilan daerah lagi mencatatkan penurunan namun hanya dua daerah yang menunjukkan penurunan signifikan iaitu Tawau (-23 kes) dan Kudat (-18 kes).

“Pada hari ini juga terdapat dua kluster baharu yang direkodkan iaitu Kluster Sawit Jati di Kinabatangan yang setakat ini menjangkiti 25 orang dengan 22 adalah kes baharu pada hari ini.

“Satu lagi kluster baharu ialah Kluster Tumbalang di Ranau yang setakat ini menjangkiti 56 orang dan dua daripadanya adalah kes baharu pada hari ini,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata saringan bergejala atau dikaitkan dengan kes sporadik kekal tinggi pada hari ini dengan 258 kes atau 38.2 peratus daripada kes keseluruhan.

Katanya, daripada 675 kes hari ini, sebanyak 442 kes atau 65.48 peratus adalah kes yang berlaku dan didaftarkan dalam tempoh 24 jam yang lalu, manakala kes selebihnya didaftar lewat dua hari atau lebih selepas keputusan saringan diketahui.

“Kes jangkitan yang dianggap serius kekal rendah. Jumlah kes dalam Kategori 3 ialah seramai empat orang, diikuti empat orang dalam Kategori 4 dan seorang dalam Kategori 5.

“Kebanyakan kes jangkitan adalah dalam Kategori 2, iaitu 550 orang (81.5 peratus) dan Kategori 1 seramai 109 orang (16.2 peratus). Sebanyak tujuh kes lagi masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|