PM lancar 4 pakej Lebuhraya Pan Borneo di Kinabatangan Sabtu ini

PM lancar 4 pakej Lebuhraya Pan Borneo di Kinabatangan Sabtu ini

Kota Kinabalu: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual melancarkan projek Lebuhraya Pan Borneo bagi pakej kerja zon pantai timur Sabah di Kota Kinabatangan, Sabtu ini.

Beliau dijadual tiba di Lapangan Terbang Sandakan, petang esok sebelum bertolak ke Kinabatangan pada pagi Sabtu dan pulang ke Kuala Lumpur melalui Sandakan pada petang hari yang sama.

Ia adalah lawatan pertama Ismail Sabri ke Sandakan dan Kinabatangan serta yang kedua ke Sabah selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos lalu.

Ismail Sabri dijadual melancarkan empat pakej kerja Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi laluan Kinabatangan – Sandakan – Beluran – Telupid di Dataran Tamu Pekan Kota Kinabatangan, bermula jam 10 pagi Sabtu ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kontraktor bagi empat pakej kerja berkenaan iaitu WP15, WP28, WP29 dan WP30 baru saja dilantik.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, keempat-empat pakej kerja itu akan dilaksanakan serentak sejurus pelancarannya oleh Perdana Menteri dan dijangka siap pada 2024.

“Empat pakej ini adalah antara pakej baharu projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

“Satu lagi pakej baharu ialah laluan di antara Serusop, Tuaran ke Pituru, Kota Belud yang dijangka dimulakan tahun depan menggunakan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Dengan pelaksanaan lima pakej baharu ini, menjadikan 16 pakej kerja dilaksanakan setakat ini daripada 35 pakej keseluruhan dalam Fasa Satu Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah,” katanya, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata 11 pakej yang sedang dilaksanakan ketika ini berjalan lancar dengan pencapaian setakat ini pada tahap 54 peratus dan dijadual siap pada 2023.

Katanya, bagi baki 19 pakej lagi, pihaknya berharap ia dapat dilaksanakan secara serentak supaya tempoh penyiapannya dapat dipercepatkan.

Sementara itu, Bung Moktar berkata pelaksanaan empat pakej Lebuhraya Pan Borneo laluan Kinabatangan – Telupid bakal menyelesaikan kerosakan jalan raya sedia ada yang menimbulkan rungutan pengguna selama ini.

“Projek ini akan menyelesaikan isu kerosakan yang kerap berlaku di jalan utama sedia ada terutamanya dari Batu 32 Sandakan menghala ke Telupid dan dari Batu 32 Sandakan menghala ke Kinabatangan,” katanya.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa Satu membabitkan jajaran Sindumin – Kota Kinabalu – Kudat di pantai barat dan Tawau – Batu 32 Sandakan di pantai timur serta Batu 32 Sandakan – Ranau di bahagian tengah Sabah dengan panjang keseluruhan 706 kilometer.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|