Operasi mencari nelayan hilang di Pulau Dinawan diteruskan

Operasi mencari nelayan hilang di Pulau Dinawan diteruskan

Kota Kinabalu: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan yang hilang selepas keluar ke laut untuk memancing ikan diteruskan hari ini.

Dalam operasi jam 7 pagi itu, operasi pencarian dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Operasi SAR diteruskan untuk mencari dan menyelamat nelayan yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kordinasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu membabitkan atur gerak Bot Pengawal 39 serta dibantu aset udara dan laut.

Selain itu katanya, pihaknya turut membuka Pengkalan Hadapan Carilamat mangsa yang didirikan di Pantai Beringgis untuk memantapkan lagi operasi SAR.

“Kawasan pencarian mangsa dipecahkan kepada lima sektor dengan keluasan 91 batu nautika persegi.

“Sebarang maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam kejadian Selasa lalu, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika keluar menangkap ikan di kawasan Pantai Beringgis, Kampung Beringgis, di sini.

Nelayan yang dikenali sebagai Halid Bidin, 33, dikatakan turun ke laut sejak petang namun tidak pulang ke rumah sehingga lewat malam.

Difahamkan, penduduk kampung yang menyedari kehilangannya cuba mencari mangsa namun hanya menemui bot milik lelaki terbabit sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|