Kota Belud: Kenyataan yang dikeluarkan seorang pemilik akaun facebook yang mendakwa polis mengenakan kompaun terhadap seorang pemandu kerana membawa dua penumpang termasuk seorang kanak-kanak adalah tidak benar.
Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Sahimi Husin berkata, kenyataan yang tular di media sosial berkenaan adalah satu bentuk provokasi terhadap pasukan keselamatan.
Katanya, semakan mendapati tiada sebarang kompaun dikeluarkan seperti didakwa oleh pemilik akaun yang dikenali sebagai ‘Musli Oli’.
“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud ingin menegaskan bahawa kenyataan berkenaan adalah tidak benar.
“Hasil semakan tiada kompaun dikeluarkan kepada pemandu yang membawa lebihan penumpang membabitkan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sahimi berkata, masyarakat diminta tidak mudah percaya dengan kenyataan yang dikeluarkan tanpa merujuk kepada pihak bertanggungjawab terhadap kesahihan maklumat yang ditularkan.
Katanya, tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun media sosial terbabit dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia
“Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan dalam usaha melandaikan pandemik Covid-19z
“IPD Kota Belud juga akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar SOP ditetapkan,” katanya.
– Deasoka