Kg Pondo,Pulau Gaya antara dikenakan PKPD

Kg Pondo,Pulau Gaya antara dikenakan PKPD

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Sabah bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan beberapa lokaliti di daerah Kota Kinabalu, Kudat, Tawau dan Keningau.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kesemua PKPD berkenaan akan berkuatkuasa pada 30 Jun ini hingga 13 Julai depan, selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

“PKPD yang dimasukkan adalah membabitkan beberapa lokaliti iaitu di Kudat merangkumi Kampung Timbangan, Matunggong, Kampung Perpaduan Gumpa dan Kampung Perpaduan Dua.

“Manakala bagi daerah Tawau pula, melibatkan lokaliti PKPD Rumah Pekerja Ladang Sungai Balung, di Keningau membabitkan lokaliti kuarters kilang bata Kampung Durok dan Kampung Limbawan serta di Kota Kinabalu pula, lokaliti Kampung Pondo, Pulau Gaya.

“Kesemua pelaksanaan PKPD ini adalah bertujuan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media harian Covid-19 Sabah, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 258 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 69,025 kes.

“Tiada kes kematian direkodkan hari ini,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya lagi, negeri Sabah mencatatkan peningkatan kes positif melibatkan tiga daerah iaitu di Kota Kinabalu 71 kes, Kudat (36) dan Keningau (23).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|