PPNS sambut baik PEMULIH

PPNS sambut baik PEMULIH

Beaufort: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menyambut baik Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Pengerusi PPNS, Datuk Mohd Nazri Abdullah (gambar) berkata, bantuan yang diberikan melalui PEMULIH begitu menyeluruh kepada semua kumpulan masyarakat termasuk usahawan tani di luar bandar.

Beliau berkata, Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil atau PUPUK agar menggalakkan usahawan tani beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai amat tepat pada masanya.

“Dengan geran padanan sehingga RM5,000 untuk pembelian sistem atau langganan platform digital sudah pasti akan membantu meringankan beban usahawan tani yang memilih urusan perniagaan dan transaksi tanpa tunai.

“PPNS amat bersetuju dengan usaha dan inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Mohd Nazri berkata, seperti yang diumumkan oleh Muhyiddin, program itu yang akan dilaksanakan melalui kerjasama MDEC dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) akan mengenal pasti petani yang berpotensi untuk beralih ke platform teknologi baharu.

Jelasnya, sudah tiba masanya usahawan tani di luar bandar di Sabah beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai semasa pandemik Covid-19.

“Penggunaan platform teknologi bagi memasarkan produk-produk para usahawan tani sangat relevan semasa negara dan seluruh dunia masih dilanda Pandemik COVID-19,”katanya.

Beliau berharap para usahawan tani di negeri ini tidak menolak usaha murni kerajaan yang akan memilih mereka yang berpotensi untuk beralih ke platform teknologi baharu.

“Sementara PPK pula akan memainkan peranan yang diamanah untuk mengenal pasti petani yang berpotensi untuk tujuan tersebut”, katanya.

Mohd Nazri juga memuji Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang telah mengetengahkan keluh kesah dan kepayahan yang dihadapi oleh para peladang dan petani kepada Perdana Menteri.

“Sehingga para peladang dan usahawan tani di luar bandar turut menikmati pelbagai bantuan menerusi PEMULIH”, tambahnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|