Moratorium enam bulan tanpa syarat

Moratorium enam bulan tanpa syarat

Kuala Lumpur: Memahami keresahan rakyat pada masa ini, kerajaan dengan kerjasama pihak bank bersetuju melaksanakn moratorium enam bulan kepada semua peminjam individu tanpa syarat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemberian itu membabitkan sama ada daripada golongan B40, M40 atau T20 dan usaha mikro.

Katanya, tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.

“Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik. Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha PKS yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank.

“Permohonan akan dibuka pada 7 Julai 2021 dan peminjam hanya perlu memohon serta menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan,” katanya pada Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.

Muhyiddin berharap inisiatif moratorium ini dapat sedikit sebanyak membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini.

“Bagaimanapun, saya juga ingin berpesan gunalah tawaran ini dengan sebaiknya dan jika tidak mendesak, janganlah membuat tambahan komitmen kewangan lain,” jelasnya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|