Kota Kinabalu: Tiada bukti klinikal yang boleh mengesahkan keberkesanan makanan tambahan atau suplemen untuk mencegah dan merawat jangkitan COVID-19.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Khor Ban Hock, berkata dakwaan mengenai keberkesanan penggunaan makanan tambahan tertentu hanyalah andaian semata-mata.
“Ramai yang mula mengambil suplemen kerana percaya ia boleh meningkatkan sistem imun badan mereka untuk mencegah dan merawat COVID-19.
“Namun, sebenarnya bagi kebanyakan orang yang mengamalkan diet seimbang dan sihat, suplemen adalah tidak diperlukan walaupun ketika pandemik COVID-19,” katanya ketika dalam perkongsian melalui program webinar mengenai isu suplemen dan COVID-19 anjuran FSMP, di sini.
Beliau berkata, beberapa suplemen seperti vitamin D, zink, dan vitamin C dilaporkan dapat mengurangkan simptom selesema biasa, namun boleh membawa kesan buruk jika diambil secara berlebihan.
“Bagi pengguna yang ingin mengamalkan pengambilannya, adalah penting untuk membeli suplemen yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan keselamatan dan kualiti produk itu,” katanya.
Katanya, pengguna perlu berhati-hati dan mematuhi arahan pengambilan suplemen yang ditetapkan bagi mengelak kesan sampingan yang mungkin memudaratkan jika tersalah guna.
Pengambilan makanan tambahan atau suplemen dikatakan meningkat dalam kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini berikutan kebimbangan terhadap penularan jangkitan COVID-19 yang menunjukkan peningkatan kes mendadak akhir-akhir ini.
-Deasoka