Bantuan tunai RM1,000 kepada mangsa banjir di Penampang

Bantuan tunai RM1,000 kepada mangsa banjir di Penampang

Penampang: Mangsa banjir di daerah ini akan menerima bantuan tunai RM1,000 daripada kerajaan negeri bagi meringankan beban dan kesukaran yang dihadapi akibat bencana alam itu.

Pemberian bantuan itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika meninjau kesan banjir yang menjejaskan kehidupan penduduk di Kampung Sugud, di sini, petang ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri amat bersimpati dengan apa yang menimpa penduduk di daerah ini termasuk di Kampung Sugud yang terjejas teruk akibat banjir dan disifatkan sebagai terburuk pernah berlaku setakat ini.

“Saya telah diberi taklimat oleh Pegawai Daerah dan saya ingin mengumumkan bahawa kita akan memberi bantuan kepada mereka yang terjejas teruk iaitu seramai 937 orang, sebanyak RM1,000 tunai akan diberikan kepada mangsa.

“Kita juga akan membina semula rumah yang dihanyutkan banjir iaitu sebanyak 10 rumah. Kerajaan negeri akan bantu membina semula rumah mereka serta menyediakan peralatan yang diperlukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau kesan banjir di Kampung Sugud, di sini, petang ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga akan menyediakan peralatan yang diperlukan penduduk kampung untuk melaksanakan kerja pembersihan kesan kotoran dan kerosakan selepas banjir.

Katanya, kerajaan akan meluluskan semua permintaan mengenai bantuan melaksanakan kerja pembersihan dan perkara lain yang diperlukan bagi meringankan beban penduduk terjejas.

“Ini antara langkah yang kita akan lakukan kerana kita nampak kesan banjir kali ini begitu teruk sekali. Kita amat bersimpati dan kerajaan sedaya upaya membantu mereka yang terjejas,” katanya.

Pada masa sama, katanya kerajaan negeri turut bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu memulihkan kerosakan.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan semua penduduk yang terjejas, khususnya di Kampung Sugud akan mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada kerajaan.

Ditanya berhubung usaha jangka panjang kerajaan negeri bagi menangani masalah banjir di daerah ini, Hajiji berkata pelbagai langkah sedang dilakukan ketika ini.

Katanya, bagi langkah jangka pendek, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah diarah untuk membersihkan kawasan anak sungai, sungai dan longkang yang dikenal pasti menyumbang kepada berlakunya banjir.

“Untuk jangka masa panjang, memang kerajaan sedang buat perancangan dan sekarang ada dua tempat kerja pembesaran sungai dan lain-lain kerja yang berkaitan sedang dilaksanakan.

“Tinggal satu pakej lagi akan dilakukan supaya pada masa akan datang, kita tidak lagi mendapat banjir yang begitu teruk dan besar di Penampang ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|