Cuaca buruk, komuniti maritim diingatkan tingkat keselamatan

Cuaca buruk, komuniti maritim diingatkan tingkat keselamatan

Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) mengingatkan komuniti maritim di negeri ini supaya lebih meningkatkan tahap keselamatan sebelum meneruskan sebarang aktiviti di laut atau persisiran pantai.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana
Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, antara langkah yang boleh diamalkan ialah dengan menyemak laporan kaji cuaca di laman web
Maritim Malaysia atau Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum keluar ke laut.

Beliau berkata, langkah itu adalah bagi meningkatkan kepekaan terhadap sebarang perubahan cuaca.

“Komuniti maritim juga diingatkan untuk sentiasa memakai jaket keselamatan,
bawa peranti pengesan kedudukan seperti Personal Locator Beacon (PBL) serta memaklumkan lokasi dan tujuan ke laut kepada ahli keluarga atau sahabat handai,” katanya.

Mohd Rosli dalam pada itu turut menambah, aspek keselamatan bot atau vesel juga harus dititikberatkan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini dari berlaku.

” Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan notis amaran cuaca buruk
disekitar pantai barat Sabah dan Labuan.

“Perairan tersebut dijangka akan mengalami hujan lebat yang berterusan bermula hari ini dan ianya merupakan
fasa permulaan bagi Monsun Timur Laut yang dijangka akan bermula pada Oktober hingga Mac depan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|