Bomba selamatkan mangsa banjir, lelaki cedera di Manggatal

Bomba selamatkan mangsa banjir, lelaki cedera di Manggatal

Kota Kinabalu: Tindakan pantas sepasukan bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang cedera di bahagian kaki daripada terperangkap dalam insiden banjir kilat di UCA Dua, Manggatal, hari ini.

Dalam kejadian pada pagi itu, turut diselamatkan adalah 14 individu lain termasuk bayi yang dilaporkan terperangkap akibat banjir di lokasi berkenaan.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi (PPON) bomba negeri, Misran Bisara ketika dihubungi, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.48 pagi, sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.

“Berdasarkan maklumat awal, kita menerima laporan dengan dua buah keluarga melibatkan seramai 15 orang terperangkap dalam banjir kilat di lokasi terbabit.

“Bomba kemudiannya melakukan pemindahan mangsa ke lokasi lebih tinggi.

” Terdapat seorang lelaki berusia 27 tahun dilaporkan cedera di bahagian kaki dan telah digegaskan ke hospital berdekatan menggunakan jentera ERMS untuk rawatan lanjut, “katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Misran berkata, berlaku satu insiden tanah runtuh berhampiran, Country Height, Kota Kinabalu, pada pagi tadi.

Jelasnya, bomba menerima maklumat berhubung insiden tersebut pada jam 9.58 pagi namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Terdahulu, beberapa lokasi di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang dinaiki air susulan hujan lebat sejak tengah malam tadi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|