Menara Jam Atkinson tidak diganggu – Datuk Bandar KK

Menara Jam Atkinson tidak diganggu – Datuk Bandar KK

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hari ini tampil memberi penjelasan berhubung kerja pembangunan yang membabitkan struktur bangunan bersejarah, Menara Jam Atkinson, di sini.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip, dalam kenyataannya berkata kerja yang sedang dilaksanakan di sekitar tapak bersejarah itu, termasuk satu lagi lokasi bersejarah, Australia Place adalah sebahagian projek landskap dan menaik taraf kawasan bandar raya.

Beliau berkata, projek berkenaan yang tertangguh sejak 2009 tidak membabitkan pengubahsuaian struktur bangunan atau gangguan terhadap monumen bersejarah, khususnya Menara Jam Atkinson.

“Apa yang dilaksanakan itu ialah projek Menaiktaraf Kawasan Pusat Persekitaran Bandaraya Kota Kinabalu Pakej 3, iaitu peningkatan fizikal kawasan Menara Jam Atkinson dan Australian Place.

“Ia adalah satu daripada projek di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang telah diluluskan pada 2009 dan diteliti semula pada tahun lalu sebelum diluluskan untuk pembinaan pada tahun 2021.

“Projek ini dibiayai melalui peruntukan di bawah Pihak Berkuasa Pelaburan dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDIA) yang mana DBKK adalah agensi pelaksana projek,” katanya.

Beliau berkata, projek itu merangkumi tiga komponen iaitu menaik taraf kawasan persekitaran Menara Jam Atkinson termasuk kerja pembaikan dan pembinaan tembok penahan cerun serta penyediaan kemudahan asas.

Komponen kedua projek, katanya ialah menaik taraf kawasan Menara Pemerhatian di Jalan Bukit Bendera, manakala komponen ketiga membabitkan pembinaan `Treetop Walkway’ menghubungkan kawasan Menara Jam Atkinson dengan Menara Pemerhatian.

“Objektif utama projek ini adalah untuk menaik taraf kawasan persekitaran Menara Jam Atkinson dari aspek keselamatan struktur menara jam berkenaan seperti pembinaan tembok penahan yang kekal dan sistem perparitan yang teratur.

“Selain itu, ia juga bagi menyediakan kemudahan kepada pengunjung seperti ruang awam yang selamat dan selesa serta boleh dinikmati oleh semua golongan masyarakat termasuk orang kelainan upaya (OKU).

“Pada masa yang sama, projek itu juga akan meningkatkan pencahayaan di sekitar kawasan Menara Jam Atkinson dan Menara Pemerhatian,” katanya.

Secara keseluruhan, Noorliza berkata projek itu membabitkan kerja landskap dan penaiktarafan serta pembaikan kawasan persekitaran tanpa membabitkan pengubahsuaian struktur
Menara Jam Atkinson.

Projek berkenaan, katanya dijangka mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan.

Menara Jam Atkinson yang terletak di atas bukit berhampiran Balai Polis Lama Kota Kinabalu dibina pada 1905 bagi memperingati Pegawai Daerah Pertama Jesselton atau kini dikenali sebagai Kota Kinabalu, Francis George Atkinson yang meninggal dunia ketika berusia 28 tahun akibat malaria pada Disember 1902.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|