Tiada Aktiviti Jual Anak – Polis

Tiada Aktiviti Jual Anak – Polis

Kota Kinabalu: Tiada sebarang aktiviti penjualan anak atau pemerdagangan manusia seperti dakwaan yang dikeluarkan seorang ahli politik tempatan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan meminta semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang berita tidak benar.

Katanya, ia dibimbangi akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli masyarakat sehingga menimbul perkara tidak diingini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Raymond Ahuar, hari ini, mendakwa tiga kanak-kanak cuba dijual ibu kandung mereka.

Menurutnya, ibu kepada kanak-kanak melakukan tindakan demikian kerana kesempitan hidup selepas tidak lagi mempunyai wang akibat terputus pendapatan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, kes ini berkaitan sepasang suami isteri yang ditahan berkaitan kesalahan penggunaan dadah.

Katanya, lelaki terbabit ditahan pada 22 Mei lalu dan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(a)(1) akta sama.

“Pada 11 Jun lalu, wanita yang juga ibu kepada tiga kanak-kanak pula ditahan selepas didapati positif dadah jenis Methapetamine.

“Semasa tangkapan, dua anak berusia lima tahun dan tujuh bulan yang berada bersama ibu mereka diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perlindungan dan kebajikan kanak-kanak terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrudin berkata, seorang lagi anak berusia tujuh tahun turut diserahkan kepada pihak JKM pada keesokan harinya.

Katanya, siasatan mendapati, sebelum ditahan wanita terbabit pernah memohon bantuan kewangan daripada orang awam bagi membayar wang jaminan mahkamah untuk suaminya.

“Tiada sebarang kesalahan berkaitan penjualan kanak-kanak oleh si ibu dan tiada sebarang isu pemerdagangan manusia atas desakan hidup di daerah Keningau.

“Pihak polis memohon agar pihak-pihak terbabit supaya tidak mengeluarkan sebarang isu yang tidak benar tanpa merujuk kepada pihak polis,” katanya.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|