TH bayar zakat RM2.1 juta

TH bayar zakat RM2.1 juta

Kota Kinabalu: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menunaikan kewajipan membayar zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020 berjumlah RM2,104,543.47 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Zakat berkenaan diserahkan Pengarah TH Wilayah Sabah dan Sarawak, Datin Nurlaila Said kepada Timbalan Pengerusi MUIS, Ustaz Malai Ali Malai Ahmad dengan disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu.

Pembayaran berkenaan menunjukkan peningkatan lebih RM0.3 juta berbanding RM1,774,247.05 pada 2019.

Nurlaila berkata setiap tahun TH menunaikan bayaran zakat yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab TH sebagai sebuah organisasi Islam.

Katanya, ia juga sebagai tanda keprihatinan TH terhadap usaha memperkasa kewangan Islam dan pembangunan sosio ekonomi ummah bagi golongan asnaf di Sabah.

Dalam taklimatnya kepada Hajiji, Nurlaila berkata, TH juga menyerahkan sumbangan van menerusi Program Mobiliti institusi kewangan Islam itu yang julung-julung kali dilaksanakan di negeri ini.

“Sepanjang 2020, TH terus memperkasa tanggungjawabnya melalui pelaksanaan pelbagai program zakat bersasar, khususnya terhadap golongan yang memerlukan.

“Ia merangkumi pengagihan bagi tujuan pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan kemasyarakatan. Program tanggungjawab sosial korporat TH ini memberi impak positif kepada golongan asnaf,” katanya.

Yang turut hadir ialah Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong; Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali dan Pengarah TH Negeri Sabah, Yusdi Nasip.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|