10,200 penonton dibenarkan menyaksikan perlawanan Sabah FC menentang Melaka United

10,200 penonton dibenarkan menyaksikan perlawanan Sabah FC menentang Melaka United

Kota Kinabalu: Seramai 10,200 penonton dibenarkan menyaksikan perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2021 antara Sabah FC menentang Melaka United di Stadium Likas, di sini, Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pintu dan Tiket, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Shamsuddin Mohd Shah berkata, keputusan kebenaran itu dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam, menerusi surat rasmi yang dikeluarkan kepada Sabah FC, semalam.

Katanya, tiket perlawanan Piala Malaysia kali ini dijual mengikut harga sama iaitu 1,000 tiket untuk tempat duduk grandstand yang dijual pada harga RM35.

“Manakala bagi zon A dan D pula, sebanyak 2,800 tiket dan 3,800 tiket dijual pada harga RM12 dan bagi zon B dan C pula masing-masing sebanyak 1,300 tiket dijual pada harga RM20.

“Perlawanan dijadualkan akan bermula jam 8.15 malam dan penyokong dibenarkan masuk ke stadium bermula jam 5 petang hingga 8.30 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shamsuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) berkata, walaupun pertambahan dibenarkan, namun pihak SAFA akan tetap memandang serius terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pencegahan Covid-19 ditetapkan.

Sehubungan itu katanya, keselamatan semua pihak akan sentiasa diutamakan bagi memastikan penularan wabak ini dapat dikawal sebaiknya.

“Kita sekali lagi ingin mengingatkan penonton yang hadir supaya memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.

“Penonton juga tidak dibenarkan membawa payung dan helmet masuk ke dalam stadium,” katanya.

Menurutnya, pihak MFL juga membenarkan remaja berusia bawah 18 tahun yang lengkap menerima menerima vaksinasi Covid-19 masuk ke stadium.

“Penonton juga perlu menjaga penjarakan fizikal, duduk di tempat yang disediakan dan larangan berkumpul beramai-ramai.

“Kita berharap semua penyokong Sabah FC kekal berdisiplin serta mematuhi SOP yang ditetapkan,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|