Terjunam ke dalam longkang, satu maut, dua cedera

Terjunam ke dalam longkang, satu maut, dua cedera

Sipitang: Seorang maut manakala dua lagi rakannya terselamat selepas kenderaan dinaiki terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam longkang di Jalan Desa Lukutan, Merintaman, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.45 malam itu, mangsa Kedshon Kensius, 18, maut di lokasi kejadian manakala dua rakan berusia 20-an dilaporkan cedera namun berada dalam keadaan stabil.

Difahamkan, kenderaan Proton Wira yang dinaiki ketiga-tiga mangsa bergerak dari arah pekan Sipitang menuju ke SFI.

Bagaimanapun, kenderaan mangsa dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke longkang sedalam tiga meter di kiri jalanraya berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.53 malam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kenderaan berada di dalam longkang dan terdapat mangsa yang terperangkap di dalam kereta berkenaan.

“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa terperangkap kemudiannya segera dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sebaik semua mangsa dikeluarkan, dua mangsa dihantar ke Hospital Sipitang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Manakala katanya, mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|