Banjir kilat dan angin kencang sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Kimanis dan Papar

Banjir kilat dan angin kencang sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Kimanis dan Papar

Kota Kinabalu: Cuaca hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa lokasi sekitar ibu negeri dinaiki air.

Keadaan banjir turut mengakibatkan kesesakan di beberapa jalan utama di sini selepas mula dinaiki air sejak awal pagi tadi.

Tinjauan mendapati antara kawasan yang terjejas akibat dinaiki termasuk Kolombong, Inanam, Kampung Rampayan, Manggatal, Pavilion Bundusan, Pasar Lido dan beberapa lagi lokasi sekitar Penampang.

Mengikut laporan dikeluarkan Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Penampang, hujan berterusan menyebabkan sistem perparitan dipenuhi air dan seterusnya beberapa kawasan terutamanya daerah Penampang dinaiki air.

Katanya, bacaan terkini sungai Moyog juga sudah mencapai ketinggian 8.82 meter melebihi paras amaran.

“Ketika ini, sebanyak lima perkampungan dan dua kawasan perumahan dinaiki air. Antara kampung terjejas adalah Kampung (Kg) Kobusak, Kg Sugud, Kg Kibabaig, Kg Mogonibung dan Kampung Kohizan.

“Manakala dua kawasan perumahan terjejas adalah Millenium Height Bundusan dan Taman Landmark,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang pemindahan mangsa banjir dilakukan setakat ini namun pemantauan terus dijalankan dari semasa ke semasa.

Kejadian angin kencang turut mengakibatkan bumbung rumah rosak serta sebaris kedai berstuktur kayu ranap.

Menerusi laman sosial facebook, antara kawasan terjejas adalah sekitar daerah Papar dan Kimanis.

Sementara itu, seorang penduduk yang dikenali sebagai Dani, 39, berkata, hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan kawasan perumahannya di Kolombong ditenggelami air.

Katanya, kejadian ini sudah beberapa kali berlaku tahun ini selepas berlaku hujan lebat berterusan dalam jangka masa beberapa jam.

“Kejadian ini sudah kerap kali berlaku, dalam dua bulan ini sudah lebih empat kali kawasan kami dilanda banjir.

“Keadaan banjir kilat yang tidak dapat dibendung ini menyukarkan dan diharap pihak berwajib dapat mencari jalan penyelesaian terhadap masalah ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|