Lima kedai kayu roboh

Lima kedai kayu roboh

Papar: Kejadian angin kencang sejak awal pagi tadi menyebabkan lima kedai yang menggunakan struktur kayu di pekan Kimanis, di sini, roboh.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, semua kedai berkenaan ranap namun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.51 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, keadaan bangunan kedai berkenaan ranap sepenuhnya dan pasukan bomba terus membuat kerja-kerja pembersihan.

“Selain itu, pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan sekitar kawasan berkenaan memastikan tiada kemerbahayaan lain berlaku,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, struktur kedai berkeluasan 557 meter persegi berkenaan roboh dipercayai berpunca daripada angin kencang yang berlaku sekitar waktu subuh.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.33 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|